Wednesday 15 March 2017

Filled Under:

JKM, polis telah sahkan remaja pandu Gen-2 lawan arus ialah OKU

JKM, polis telah sahkan remaja pandu Gen-2 lawan arus ialah OKU 




Seorang pegawai JKM Pulau Pinang berkata, doktor mencadangkan
remaja itu menyertai program pendidikan khas ketika dia memasuki
tingkatan 1.

PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis
mengesahkan pemandu remaja yang memecut melawan arah trafik di
Lebuhraya Utara­Selatan kelmarin sehingga menyebabkan seorang
lelaki maut adalah orang kelainan upaya (OKU).

Seorang pegawai dari JKM Pulau Pinang mengesahkan kad OKU itu
adalah asli dan dikeluarkan kepada remaja itu pada 2011.
“Doktor mencadangkan dia menyertai program pendidikan khas ketika
dia memasuki tingkatan 1,” kata pegawai itu tanpa mengulas lanjut
kepada FMT hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik
Ros Azhan Ab Hamid yang dipetik China Press turut mengesahkan
pemandu berusia 19 tahun itu mempunyai kad OKU.

Menurut laporan akhbar itu, seorang mangsa cedera turut mendakwa
ibu suspek ada memaklumkan anaknya mempunyai kad OKU ketika
membuat laporan polis pada hari kejadian.

Bagaimanapun, ketika kemalangan berlaku, kereta Gen­2 yang dipandu
remaja itu tidak mempunyai pelekat OKU.

Pengguna Internet memuat naik gambar kad OKU yang mirip pemandu
remaja itu, di mana kad terbabit dikeluarkan JKM pada 9 September
2011.
Tambahan, kad OKU itu turut tertera masalah pembelajaran dalam
ruangan kategori ketidakupayaan.
Pada jam 7.50 pagi Selasa lalu, remaja yang memandu Proton Gen­2
itu melanggar 3 kenderaan sebelum membuat pusingan U beberapa

meter dari Plaza Tol Sungai Dua dan memecut melawan arah trafik
sejauh 5km di Km 134 Lebuhraya Utara­Selatan di Seberang Perai
Tengah.

Ia kemudiannya merempuh Perodua Kelisa yang dipandu pekerja
kilang, Mohamad Fandi Rosli, menyebabkan bakal bapa berusia 26
tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Kereta dipandu remaja itu turut merempuh 5 kenderaan lain, termasuk
sebuah van kilang dan motosikal.

Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
Bagaimanapun, polis semalam berkata “ia bukan methamphetamine,
sebaliknya hanya amfetamina”.

Amfetamina ialah ubat yang lazim digunakan untuk gangguan defisit
perhatian (ADD).

Semalam, Mahkamah Majistret membenarkan polis mereman remaja
itu selama 4 hari sehingga Sabtu ini bagi menyiasatnya memandu di
bawah pengaruh alkohol dan dadah di bawah Akta Pengangkutan Jalan
1987.

Dia turut disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Merbahaya 1952
kerana salah guna dadah

sumber: http://friscomedia.blogspot.com/2017/03/jkm-polis-sahkan-remaja-pandu-gen-2.html




0 comments:

Post a Comment